Wednesday 18 December 2013

Resolusi 2014

Menjelang 2014.

Ramai orang tanya tentang azam apabila menghampiri tahun baru. Maka, akan kedengaran macam-macam azam. Ada yang mahu menjadi bertambah baik, ada yang mahu kurus, ada yang mahu kahwin, ada yang juga yang mahu jadi kaya.

Apabila ditanya, adakah azam tahun ini sudah tercapai? Ada yang menundukkan kepala, ada yang menukar topik, ada yang berkata apa yang lepas itu biarlah lepas dan ada juga yang mengatakan azam tahun hadapan adalah azam tahun ini yang tidak tercapai.

Sudah lama saya tidak menanam azam apabila menjelang tahun baru. Rasanya sejak lima tahun yang lepas. Sejak menjadi isteri dan ibu. Setiap hari saya menanam azam. Azam saya biasanya adalah azam yang mudah dan praktikal.

"Esok mahu masak sup untuk anak-anak."

"Malam ini mahu siapkan melipat kain."

"Petang nanti mahu menyapu sampah."

Itu azam bukan? Sukar untuk saya menanam azam yang besar.  Tetapi entah mengapa, hujung tahun ini saya seperti disuntik semangat baru. Saya mahu menanam azam. Saya mahu mencipta resolusi saya. Saya mahu meletakkan matlamat dalam hidup saya.

Orang kata, kalau kita simpan sendiri matlamat kita ia akan sukar direalisasikan. Kita perlu menulisnya, menatapnya setiap hari dan berkongsi dengan orang lain. Supaya kita sentiasa diingatkan dengan matlamat yang kita buat sendiri.

Jadi, resolusi 2014 saya adalah:


  1. Menulis semua matlamat saya di atas kertas dan menampalnya di setiap penjuru rumah dan meja kerja saya.
  2. Menyusun semula diri, keluarga, kerjaya dan bisnes.
  3. Berkongsi matlamat dengan orang terdekat dan minta mereka memberi peringatan kepada saya (sudah pasti bukan berkongsi dalam blog).
  4. Menjadi lebih taat dalam beribadah kepada Allah, menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan baik dan sentiasa menjaga perhubungan dengan ibu bapa sendiri dan ibu bapa mertua.
Yang terakhir sekali, mahu berkongsi apa yang saya fikir tentang hidup dalam blog ini kerana saya mahu setiap orang sentiasa berfikir tentang hidup mereka dan apa yang mereka boleh buat bagi memperbaikinya.

Macam mana? Agak-agak realistik tak resolusi saya ni. Jadi, selamat tinggal 2013 dan selamat datang 2014.


No comments:

Post a Comment