Tuesday 27 May 2014

Cakap-Cakap Tentang Coklat

Dahulu, coklat Cadburry adalah coklat 'wajib' semasa saya belajar. Maklumlah, ada penyakit migrain dan gastrik. Kiranya coklat ni penyelamat di kala tidak sempat makan.

Apabila berkunjung ke KL Sentral, pastinya Turkish Delight jadi pilihan. Coklat ini jugalah pengikat kasih saya dan suami. Asal berjumpa, pasti dihadiahkan coklat ini pada saya.

Tapi, seingat saya selepas bersalinkan anak kedua saya sudah tidak makan lagi coklat ini. Entah mengapa. Berhenti bergitu sahaja. Kalau teringin makan coklat pun, saya beli jenama Tango ataupun beli coklat yang dijual oleh kawan satu ofis.

Apabila keluar berita tentang adanya DNA babi pada coklat ini, news feed saya di Facebook penuh dengan status tidak halalnya coklat-coklat yang lain. Sekarang timbul pula soal tukar darah dan samak mulut.

Aduhai! Betapa kita ini mudah melatah dengan perkara-perkara begini. Islam itu mudah. Usah disusahkan. Jadi bagaimana pula dengan mualaf yang memang makan babi pada waktu mereka belum Islam. Tidakkah kita terfikir apabila kita mengeluarkan sesuatu isu itu, ia mengusik sensitiviti kaum lain?

Apa yang kita patut buat? Berfikir sebelum bercakap. Berfikir sebelum meletakkan sebarang status di media sosial. Berfikir sebelum melakukan sebarang tindakan 'klik and share'.

Berfikir...

Wednesday 14 May 2014

Resolusi 2014 dan Prosesnya

Ada satu resolusi 2014 yang saya amat titikberatkan. Menurunkan berat badan dan mengempiskan perut yang buncit.

Hati meronta-ronta nak capai resolusi tu. Tapi masih tiada tindakan yang dibuat. Apakah? Setakat tanam impian tapi tak bertindak memang takkan jadilah. Ibarat rasa lapar, tapi masih terbaring je. Memang lapar saje la.

Jalan-jalan di fb, terjumpa orang share pasal minuman DIY untuk kesihatan. So, copy ke sini dulu la. Nanti boleh tengok dan buat.


  1. Green tea, mint, and lime - For fat burning, digestion, headaches, congestion and breath freshener.
  2. Strawberry and kiwi - For cardiovascular health, immune system protection, blood sugar regulation, digestion.
  3. Cucumber, lime, and lemon - For water weight management, bloating, appetite control, hydration, digestion
  4. Lemon, lime, and orange - For digestion vitamin C, immune defense, heartburn, (Drink this one at room temperature)


Nak cuba satu minuman untuk seminggu. Cukup sebulan nak tengok hasilnya. Tapi orang kata, bab paling sukar adalah istiqomah. Fuh! Harapnya saya istiqomah kali ini.

Friday 28 March 2014

Isteri yang Bossy?

Sebagai seorang wanita, ibu dan isteri pastinya kita mahukan yang terbaik dalam hidup. Semuanya perlu sempurna. Baju anak-anak diatur mengikut pasangannya. Baju kita diletakkan satu tempat dalam almari dan baju suami di satu tempat lain dalam almari tersebut.

Dengan anak-anak, kita mengharapkan yang mereka akan mematuhi setiap arahan kita. Kita mengharapkan mereka melakukan sesuatu perkara itu mengikut cara yang kita tetapkan. Kita mahukan mereka sentiasa mendengar kata-kata kita.

Sedarkah kita, perlakuan kita terhadap anak-anak mungkin juga dilakukan kepada suami kita? Saya ada terbaca satu artikel berkenaan seorang isteri yang bertanya kepada suaminya.

"Beritahu saya, apakah yang saya buat pada awak yang menunjukkan saya ini bossy?"

Ini jawapan suaminya:


  1. Apabila awak mengarahkan saya seperti saya ni anak awak.
  2. Apabila saya membantu awak atau berbuat sesuatu dan awak membetulkan saya.
  3. Apabila awak memberitahu saya kerja yang memang saya sudah tahu.
Agak-agak kita perasan ataupun tidak apa yang ukan kepada suami kita? Suami kita bukan anak kita. Dia adalah pasangan kita. Dialah orang yang menyayangi kita. Dia jugalah yang menerima kita seadanya.

Justeru, kita juga perlu menerima dia seadanya. Apabila dia membantu kita dengan kerelaan hatinya, ucapkan terima kasih. Jangan dikomen setiap yang mereka lakukan. Mereka akan terdorong membantu kita pada masa akan datang.

Belajar menghargai orang lain apabila kita mahu diri kita dihargai.

Monday 24 March 2014

WAHM

Istilah ini sudah semakin dikenali ramai. WAHM ataupun Work At Home Mom. Bahasa melayunya suri rumah. Kalau zaman dulu, surirumah ni biasanya dalam kalangan mereka yang belajar setakat darjah enam, tidak habis belajar ataupun berkahwin dalam usia yang muda.

Sekarang ini agaknya sudah menjadi trend, mereka yang menjadi suri rumah ini adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai ijazah, bahkan ada yang mempunyai master. Apabila ditanya, bukannya mereka ini tidak dapat kerja. Bukannya mereka ini tidak mendapat offer yang bergaji 4 angka ataupun 5 angka. Tetapi mereka ini mahukan kebebasan bekerja. Mereka mahu berusaha sendiri mendapatkan gaji 5 angka tanpa arahan dari majikan. Mereka tidak mahu bersesak menghadap trafik setiap hari yang menuntut masa dan tenaga mereka. Mereka juga tidak mahu ketinggalan memantau pendidikan anak-anak mereka sendiri.

Kalau dahulu, apabila graduan-graduan ini memilih untuk menjadi suri rumah, mereka dicemuh.

"Buat rugi je, belajar tinggi-tinggi akhirnya duduk di rumah juga."

"Habis tu, buat apa ijazah tu kalau setakat nak duduk rumah?"

"Kaya sangat ke suami kau tu? Mampu ke dia seorang nak sara hidup kau?"

Macam-macam yang dilontarkan kepada mereka. Tetapi apa WAHM ini buat? Itu sebab dipanggil WAHM (Work At Home Mom). Mereka bekerja sebenarnya. Tetapi dari rumah. Tidak perlu bersesak di jalan raya. Mereka bekerja dengan masa yang mereka tentukan sendiri. Mereka memilih untuk mencari duit dengan cara yang lain daripada orang lain.

Bagi ibu yang berkerjaya, kebanyakannya menghantar anak ke taska/nursery. Ada juga yang mempunyai bibik ataupun pembantu rumah yang dapat membantu mereka menguruskan anak dan rumah. Yang tiada bibik pula, lebih senang menghantar kain baju ke kedai dobi. Ada juga yang mengambil servis membersihkan rumah seminggu ataupun dua minggu sekali. Anak-anak pula dihantar ke tuisyen ataupun private tutor. Jadi, keluar pagi dan balik petang, penat di pejabat dan tertekan dengan karenah bos, staff dan juga rakan sekerja.

Bagi WAHM pula, waktu pagi mereka disibukkan dengan menguruskan anak-anak dan suami. Sarapan, pakaian dan segalanya. Ada yang menggunakan khidmat bas sekolah dan ada yang menghantar sendiri anak mereka ke sekolah. Pulang dari menghantar anak, terus ke kedai ataupun pasar untuk membeli bahan untuk memasak. Kebanyakkan WAHM bekerja secara online. Sama ada mereka menjual barangan ataupun membuat kerja freelance. Dua jam diperuntukkan di hadapan komputer sebelum ke dapur untuk mula memasak sambil membasuh baju. Tengahari ambil anak dari sekolah, menguruskan makan tengahari dan menyiapkan mereka untuk sekolah agama ataupun apa-apa kelas petang.

Sekiranya tidak, dua jam lagi diperuntukkan untuk kerja online sambil memantau anak-anak membuat kerja sekolah. Petang sedikit, sudah mula memasak untuk suami yang akan pulang dan makan malam. Selepas makan malam, lagi dua jam untuk kerja online. Selepas itu siapkan keperluan untuk esok pula. Begitulah rutinnya setiap hari.

Apa bezanya ibu berkerjaya dan WAHM? Bezanya WAHM mampu melaksanakan kerja mengikut keperluan dan masa mereka sendiri. Mereka mempunyai kebebasan melakukan kerja tanpa tekanan daripada majikan. Mereka dapat menjimatkan wang dan masa daripada trafik, makanan dan juga perjalanan. Anak-anak juga lebih terjaga dan makan masakan ibu mereka sendiri.

Fuh, agak-agak seronok tak jadi WAHM ni? Kebanyakan kawan-kawan saya yang sudah bertukar status kepada WAHM mengakui mereka lebih suka kehidupan mereka sekarang. Pendapatan mereka sekarang lebih banyak daripada yang mereka terima sewaktu bekerja di luar dahulu. Lebih banyak lagi yang mereka dapat simpan apabila menjadi WAHM. Anak-anak mereka lebih mendengar kata dan mudah dibentuk.

Saya pasti, setiap orang ada alasan tersendiri untuk bekerja di luar. Saya sendiri masih bekerja di luar. Tetapi saya sedang berusaha untuk menjadi WAHM. Saya mahukan kebebasan. Saya mahu tumpukan perhatian pada keluarga. Saya mahu hilangkan tekanan apabila bekerja di luar.

Tidak kira kita ibu berkerjaya ataupun WAHM, kita tetap SuperMom.


Friday 20 December 2013

Roda

Hidup umpama roda...

Saya sudah melihat kebenaran kata-kata ini.

Orang yang dahulunya hidup susah, tidak disukai orang, dikejar Ah Long sehingga bankrap dan blacklist, bercerai dan berkahwin lagi, dibenci ibu, dipinggirkan adik-adik dan bermacam lagi kesusahan yang dialami.

Tapi kini dia senang walau tidak mewah.

Kini dia mampu memberikan apa yang keluarganya mahu.

Kini dia disayangi ibu.

Kini dia disenangi adik-adik.

Kini hidupnya bahagia.

Saya sentiasa mengingatkan diri saya sendiri. Jangan mengeluh apabila ditimpa kesusahan. Sentiasa sabar dan redha dengan apa yang berlaku. Sentiasa berusaha memperbaiki diri dan sentiasa juga muhasabah diri. InsyaAllah. Setiap apa dugaan yang Allah berikan pada kita adalah untuk kebaikan kita juga.

Redha, usaha dan tawakal.

Thursday 19 December 2013

Bagaimana Mencukupkan Gaji?

Saya salin dan tampal dari muka buku....

Pesan Ustaz Mohd Nassru Abdul Latif: 
  1. Bila hari terima gaji, jangan dilupa ibu dan ayah. Perkara pertama buat, transfer untuk mereka dahulu. Banyak atau sedikit, itu tidak penting. Walau mereka berdua mungkin sudah berpendapatan, tetapi berikan kepada mereka sebagai hadiah. Percayalah, duit gaji kita akan cukup! 
  2. Jangan dilupa "Tabung Haji", memotong melalui potongan gaji lebih baik. Anda tahu, apabila kita sudah mendaftar haji, ia bermakna "Nawaitu" itu telah ada! 
  3. Sebagai seorang ayah, ingat kembali urusan anak. Aqiqahkan mereka dahulu, sebelum anda membeli TV LED baru, sebelum menukar sport rim baru.
  4. Sebagai seorang isteri yang bekerja, bantu suami. Tidak salah jika isteri berkata "Duit I, Duit I, Duit suami, Duit I! Tapi, redha itu lebih penting. Suami pula jangan ambik kesempatan atas kebaikan isteri! 
  5. Sebagai isteri yang tidak bekerja, redha dengan apa yang ada. Jangan merungut! Tiada suami yang mahukan kekurangan dalam keluarga. 
  6. Lihat ahli keluarga yang terdekat, siapa yang perlu dibantu? Orang susah, anak yatim? Rezeki kita akan sentiasa cukup jika mendahulukan orang yang dekat!
  7. Jangan kedekut tetapi jangan pula terlalu boros! Memberi makan merupakan sedekah yang sangat mudah. Sekali sekala, apa salahnya belanja kawan2...eratkan ukhuwah!
Senang saja kan nak dapat gaji yang cukup dan berkat? Pada saya, kalau kita asyik mengeluh gaji tak cukup, apatah lagi dengan macam-macam kenaikan ni memang betullah gaji kita tak akan cukup. Bak kata pakar motivasi. Apabila kita asyik mengeluh, ia dah 'trigger' minda separa sedar kita dan apa yang kita keluhkan tu memang akan jadi.

Ok, point pertama saya memang laluinya. Kalau ada satu bulan saya tidak beri pada mak dan ayah, mesti bulan itu saya rasa macam asyik tak cukup duit je. Jadi memang sekarang ini saya tak pernah miss beri pada mak dan ayah, walaupun masa tu duit dah tinggal sikit sebab bayar segala bil.

Point kedua, saya baru je sedar diri. Baru je buka akaun tabung haji dan baru je emel HR supaya membuat pemotongan gaji. 

Point ketiga, sudah pun kami lakukan. Alhamdulillah.

Point keempat, saya tidak kata yang saya bantu suami. Saya kata kami berkongsi segalanya. Pada saya itu tanggungjawab saya juga.

Point kelima, disebabkan saya bekerja point ini tidak relevan pada saya. Tetapi InsyaAllah saya redha dengan apa yang saya dan suami ada.

Point keenam, buat masa sekarang tiada. Tetapi InsyaAllah akan cuba realisasikan.

Point ketujuh memang sentiasa saya dan suami buat. Kami rasa puas dapat belanja kawan-kawan makan. Belanja goreng pisang petang-petang pun ok kan?

Ok, panjang pula entri ni. Saya ni apabila sudah ada idea menulis, panjangla ceritanya. Sudah malam. Mahu tidur.

Wednesday 18 December 2013

Resolusi 2014

Menjelang 2014.

Ramai orang tanya tentang azam apabila menghampiri tahun baru. Maka, akan kedengaran macam-macam azam. Ada yang mahu menjadi bertambah baik, ada yang mahu kurus, ada yang mahu kahwin, ada yang juga yang mahu jadi kaya.

Apabila ditanya, adakah azam tahun ini sudah tercapai? Ada yang menundukkan kepala, ada yang menukar topik, ada yang berkata apa yang lepas itu biarlah lepas dan ada juga yang mengatakan azam tahun hadapan adalah azam tahun ini yang tidak tercapai.

Sudah lama saya tidak menanam azam apabila menjelang tahun baru. Rasanya sejak lima tahun yang lepas. Sejak menjadi isteri dan ibu. Setiap hari saya menanam azam. Azam saya biasanya adalah azam yang mudah dan praktikal.

"Esok mahu masak sup untuk anak-anak."

"Malam ini mahu siapkan melipat kain."

"Petang nanti mahu menyapu sampah."

Itu azam bukan? Sukar untuk saya menanam azam yang besar.  Tetapi entah mengapa, hujung tahun ini saya seperti disuntik semangat baru. Saya mahu menanam azam. Saya mahu mencipta resolusi saya. Saya mahu meletakkan matlamat dalam hidup saya.

Orang kata, kalau kita simpan sendiri matlamat kita ia akan sukar direalisasikan. Kita perlu menulisnya, menatapnya setiap hari dan berkongsi dengan orang lain. Supaya kita sentiasa diingatkan dengan matlamat yang kita buat sendiri.

Jadi, resolusi 2014 saya adalah:


  1. Menulis semua matlamat saya di atas kertas dan menampalnya di setiap penjuru rumah dan meja kerja saya.
  2. Menyusun semula diri, keluarga, kerjaya dan bisnes.
  3. Berkongsi matlamat dengan orang terdekat dan minta mereka memberi peringatan kepada saya (sudah pasti bukan berkongsi dalam blog).
  4. Menjadi lebih taat dalam beribadah kepada Allah, menunaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan baik dan sentiasa menjaga perhubungan dengan ibu bapa sendiri dan ibu bapa mertua.
Yang terakhir sekali, mahu berkongsi apa yang saya fikir tentang hidup dalam blog ini kerana saya mahu setiap orang sentiasa berfikir tentang hidup mereka dan apa yang mereka boleh buat bagi memperbaikinya.

Macam mana? Agak-agak realistik tak resolusi saya ni. Jadi, selamat tinggal 2013 dan selamat datang 2014.