Monday 24 March 2014

WAHM

Istilah ini sudah semakin dikenali ramai. WAHM ataupun Work At Home Mom. Bahasa melayunya suri rumah. Kalau zaman dulu, surirumah ni biasanya dalam kalangan mereka yang belajar setakat darjah enam, tidak habis belajar ataupun berkahwin dalam usia yang muda.

Sekarang ini agaknya sudah menjadi trend, mereka yang menjadi suri rumah ini adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai ijazah, bahkan ada yang mempunyai master. Apabila ditanya, bukannya mereka ini tidak dapat kerja. Bukannya mereka ini tidak mendapat offer yang bergaji 4 angka ataupun 5 angka. Tetapi mereka ini mahukan kebebasan bekerja. Mereka mahu berusaha sendiri mendapatkan gaji 5 angka tanpa arahan dari majikan. Mereka tidak mahu bersesak menghadap trafik setiap hari yang menuntut masa dan tenaga mereka. Mereka juga tidak mahu ketinggalan memantau pendidikan anak-anak mereka sendiri.

Kalau dahulu, apabila graduan-graduan ini memilih untuk menjadi suri rumah, mereka dicemuh.

"Buat rugi je, belajar tinggi-tinggi akhirnya duduk di rumah juga."

"Habis tu, buat apa ijazah tu kalau setakat nak duduk rumah?"

"Kaya sangat ke suami kau tu? Mampu ke dia seorang nak sara hidup kau?"

Macam-macam yang dilontarkan kepada mereka. Tetapi apa WAHM ini buat? Itu sebab dipanggil WAHM (Work At Home Mom). Mereka bekerja sebenarnya. Tetapi dari rumah. Tidak perlu bersesak di jalan raya. Mereka bekerja dengan masa yang mereka tentukan sendiri. Mereka memilih untuk mencari duit dengan cara yang lain daripada orang lain.

Bagi ibu yang berkerjaya, kebanyakannya menghantar anak ke taska/nursery. Ada juga yang mempunyai bibik ataupun pembantu rumah yang dapat membantu mereka menguruskan anak dan rumah. Yang tiada bibik pula, lebih senang menghantar kain baju ke kedai dobi. Ada juga yang mengambil servis membersihkan rumah seminggu ataupun dua minggu sekali. Anak-anak pula dihantar ke tuisyen ataupun private tutor. Jadi, keluar pagi dan balik petang, penat di pejabat dan tertekan dengan karenah bos, staff dan juga rakan sekerja.

Bagi WAHM pula, waktu pagi mereka disibukkan dengan menguruskan anak-anak dan suami. Sarapan, pakaian dan segalanya. Ada yang menggunakan khidmat bas sekolah dan ada yang menghantar sendiri anak mereka ke sekolah. Pulang dari menghantar anak, terus ke kedai ataupun pasar untuk membeli bahan untuk memasak. Kebanyakkan WAHM bekerja secara online. Sama ada mereka menjual barangan ataupun membuat kerja freelance. Dua jam diperuntukkan di hadapan komputer sebelum ke dapur untuk mula memasak sambil membasuh baju. Tengahari ambil anak dari sekolah, menguruskan makan tengahari dan menyiapkan mereka untuk sekolah agama ataupun apa-apa kelas petang.

Sekiranya tidak, dua jam lagi diperuntukkan untuk kerja online sambil memantau anak-anak membuat kerja sekolah. Petang sedikit, sudah mula memasak untuk suami yang akan pulang dan makan malam. Selepas makan malam, lagi dua jam untuk kerja online. Selepas itu siapkan keperluan untuk esok pula. Begitulah rutinnya setiap hari.

Apa bezanya ibu berkerjaya dan WAHM? Bezanya WAHM mampu melaksanakan kerja mengikut keperluan dan masa mereka sendiri. Mereka mempunyai kebebasan melakukan kerja tanpa tekanan daripada majikan. Mereka dapat menjimatkan wang dan masa daripada trafik, makanan dan juga perjalanan. Anak-anak juga lebih terjaga dan makan masakan ibu mereka sendiri.

Fuh, agak-agak seronok tak jadi WAHM ni? Kebanyakan kawan-kawan saya yang sudah bertukar status kepada WAHM mengakui mereka lebih suka kehidupan mereka sekarang. Pendapatan mereka sekarang lebih banyak daripada yang mereka terima sewaktu bekerja di luar dahulu. Lebih banyak lagi yang mereka dapat simpan apabila menjadi WAHM. Anak-anak mereka lebih mendengar kata dan mudah dibentuk.

Saya pasti, setiap orang ada alasan tersendiri untuk bekerja di luar. Saya sendiri masih bekerja di luar. Tetapi saya sedang berusaha untuk menjadi WAHM. Saya mahukan kebebasan. Saya mahu tumpukan perhatian pada keluarga. Saya mahu hilangkan tekanan apabila bekerja di luar.

Tidak kira kita ibu berkerjaya ataupun WAHM, kita tetap SuperMom.


No comments:

Post a Comment